RSS

Ada Video: Kekalkan Harga Barang, Strategi BN menjelang PRU 13 – Jika Sebaliknya BN Akan Kalah Teruk

27 May

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenaikkan harga minyak RON95 serta barang keperluan lain akan bertambah serius sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya pada pilihan raya Umum ke-13 akan datang yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Ketua Penerangannya, Lee Khai Loon berkata tindakan kerajaan pusat tidak menaikkan harga minyak dan barang keperluan lain hanya strategi politik mereka bagi menghadapi pilihan raya.

Malah katanya, pengumuman tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG dibuat kerana Umno-BN sedar tindakkannya itu hanya akan menyebabkan rakyat menolak parti itu sekali gus kehilangan kuasa pemerintahan di Malaysia.

“Dengan kata lain, jika UMNO-BN terus diberi kuasa atau merampas balik 2/3 majoriti kerusi di Parlimen, maka kecenderungan harga barang naik selepas PRU13 akan bertambah serius.

“Lebih membimbangkan adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat jelata selama ini akan dilaksanakan semula oleh UMNO-BN sekiranya mereka menang besar dalam PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Lee Khai Loon, meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tindakan kabinet itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum akan datang, namun kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga barang kawalan seperti RON97, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam pada itu, AMK turut kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan subsidi bahan api ibarat ‘candu’ kepada rakyat.

Justeru katanya, polisi kerajaan itu jelas bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan seperti yang selalu diuar-uarkan oleh kerajaan 1 Malaysia.

“Kerajaan telah memotong subsidi yang penting untuk rakyat tetapi langsung tidak menyentuh subsidi berbilion-bilion yang diberi kepada syarikat pengeluar tenaga Bebas (IPP),” ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan yang mengabaikan kepentingan rakyat ini telah menyebabkan beban kehidupan harian rakyat yang semakin berat, manakala rungutan dan kemarahan rakyat juga kian bertambah.

“Oleh itu, AMK berpendapat bahawa kenaikan harga barang yang tidak terkawal menunjukkan kerajaan UMNO-BN gagal dalam mengendalikan ekonomi negara dengan cekap.

“Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda dimana akhirnya akan seperti katak yang dimasak dengan air hangat,’ katanya. -tvsnews

BN ‘korban’ tak potong subsidi takut kalah teruk PRU-13, dakwa DAP

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng percaya langkah Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa sekarang kerana bimbang akan kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Tegas Lim (gambar), langkah Pakatan Rakyat yang secara berterusan mendesak Putrajaya menyebabkan pentadbiran Najib terpaksa membatalkan hasrat memotong subsidi dan pada masa sama mengumumkan tiada kenaikan harga bahan api.

“Pakatan Rakyat telah menyebabkan timbulnya rasa takut kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mendorong BN untuk membatalkan cadangan pemotongan subsidi, malah turut mengumumkan tiada kenaikan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair untuk ketika ini.

“Namun subsidi diesel untuk kapal penangkap ikan laut dalam dan sembilan kelas kenderaan komersial akan dihapuskan bermula 1 Jun, mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung kerajaaan persekutuan sehingga mencecah RM886.1 juta setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu tegas beliau, ada tiga alasan yang menyebabkan Putrajaya terpaksa berubah fikiran untuk tidak meneruskan cadangan menaikkan harga barang dan bahan api.

“Pertama, Pakatan Rakyat berkemampuan untuk memobilisasi hampir keseluruhan dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP (penjana tenaga bebas) yang dilindungi daripada pemotongan subsidi sebanyak RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia biasa yang tidak berkemampuan terpaksa membayar sejumlah wang dengan harga yang tinggi.

“Kedua, BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah ini tidak bersependapat dengan para pengundi dan ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa Pakatan Rakyat sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau menjangkakan kenaikan harga barang dan bahan api akan berlaku sekiranya BN kekal memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

“Bagaimanapun sebelum rakyat berpesta dengan pengekalan harga beberapa barangan kawalan, kerajaan BN masih belum menyerah kalah untuk menaikkan harga dengan pengurangan subsidi. Ini adalah berikutan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa kajian semula dasar subsidi adalah perlu kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

“Selain itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

“Dalam erti kata lain, sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” katanya.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan Putrajaya tidak akan menaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi berikutan peningkatan harga bahan bakar itu di pasaran global.

Sebelum ini firma penyelidikan pelaburan AmResearch berkata, harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.

Firma itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.-TMI

 
Leave a comment

Posted by on 27/05/2011 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: